SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Tuesday, February 9, 2010

UMNO SUDAH BOLEH TULIS NAMA ATAS PASIR

Bila bercakap dengan mereka berjiwa pembangkang dan anti-establishment, antara perkara paling sering disebutkan ialah ‘kematian demokrasi’ di Malaysia. Benarkah?

Sekiranya ‘demokrasi’ hanyalah sekadar mengadakan pilihanraya (walaupun di sebalik wujudnya pengundi hantu, daftar pemilih yang boleh dipertikaikan, undi pos dan sebagainya yang mencemarkan proses pilihanraya itu sendiri), maka demokrasi bagi ‘puak-puak’ tertentu, terutamanya dalam UMNO-BN yang menguasai kerajaan adalah masih wujud.

Mereka yang lebih cerdik dan sentiasa membuka mata- seluasnya mungkin pula merasakan sudah timbul gejala di mana demokrasi di Malaysia sedang nazak bersama parti yang sentiasa mendabik dada dengan ungkapan “kita adalah sebuah negara demokratik”.

Pendapat mereka ini bersandar kepada hakikat betapa doktrin pengasingan kuasa yang sepatutnya memisahkan kuasa penggubal undang-undang, kuasa badan eksekutif dan kuasa kehakiman, yang merupakan ciri terpenting demokrasi hanya tinggal sebagai sebutan sahaja apabila peristiwa demi peristiwa yang berlaku memperlihatkan kepada umum betapa kerajaan UMNO-BN memiliki kuasa, pengaruh atau cengkaman terhadap ketiga-tiga badan ini.

Dalam pada itu ramai yang merasakan agak lucu (tapi menyusahkan) apabila pegawai kerajaan dan anggota badan penguatkuasa undang-undang tertentu main pukul borang menganggap kerajaan dan parti memerintah itu sama.

Sudah tentu ia tidak berakhir di situ apabila terdapat pemimpin (termasuk pemimpin tinggi) UMNO-BN berkongsi perihal pukul borong ini. Dan sudah tentu lagi amat memalukan apabila lebih daripada 50 tahun menguasai kerajaan tidak faham perkara semudah ini.

Apakah yang dapat kita katakan tentang sifat dan keupayaan minda mereka? Tentu banyak. Inilah antara kebebalan yang menyebabkan mereka yang bertanggungjawab mentadbirkan kerajaan Persekutuan enggan memberikan royal minyak kepada negeri-negeri yang tidak diperintah oleh parti mereka sedangkan perjanjian royalti minyak ditandatangani di antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri tidak kira sama ada kerajaan negeri di perintah oleh parti berlambang dacing, atau bulan atau hatta parti cap kapak sekalipun.

Ini sesungguhnya perkara paling mudah. Anda tidak perlu menjadi professor undang-undang untuk memahami perjanjian seperti ini. Namun kepada pemimpin UMNO-BN perkara semudah ini boleh menjadi perkara sukar dan berbelit-belit.

Tatkala Terengganu diperintah oleh PAS, kerajaan Persekutan menghentikan pemberian royalti minyak dan sebaliknya diberikan sebagai wang ehsan yang disalurkan oleh badan yang bunyinya macam pejabat kerajaan. Maka pelbagai alasan berbelit-belit yang diberikan. Namun bila UMNO-BN kembali memerintah, boleh pula diberikan sebagai royalti pula?

Perihat double standard seperti ini menyebabkan ada orang bertanya. “Jenis otak macam mana yang menterjemahkan perjanjian sekejap boleh sekejap tak boleh, sekejap wang ehsan sekejap royati ini?”

Begitulah juga halnya dengan tuntutan royalti minyak rakyat Kelantan. Apabila kerajaan negeri yang diperintah oleh PAS mendedahkan mengenai perolehan minyak di perairan mereka, maka bertegang uratlah pemimpin UMNO-BN, termasuk pemimpinnya dari kalangan anak rakyat Kelantan sendiri kononnya, tak ada perjanjian Kelantan seharusnya diberikan royalti minyak. Berbelit-belit alasan yang diberikan.

Bila didesak dari kiri dan kanan oleh pemimpin PAS, juga pemimpin kanan UMNO sendiri seperti YBM Tengku Razaleigh Hamzah yang lebih arif tentang perjanjian bersabit royalti minyak, dan rakyat umum Kelantan termasuk yang menyokong UMNO sendiri, akhirnya UMNO-BN, mahu tak mahu terpaksa akur juga. Tetapi bukan royalti minyak tetapi wang ehsan yang tidak setimpal dengan hasil perolehan minyak negeri berkenaan.

Jumlah RM20 juta wang ehsan yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Kelantan ialah ibarat memberikan wang lima sen kepada orang yang berhak menerima RM20 daripada sejumlah wang RM120 yang diperolehi.

Ada rakyat Kelantan yang tergelak dengan pemberian sebanyak ini, ada yang menangis, mengeluh, menyumpah dan macam-macam lagi. Tapi rakyat Malaysia pula bertanya RM20 juta ini dari perjanjian mana pula sedangkan kata kerajaan UMNO-BN tidak ada perjanjian.

Apakah kerajaan Persekutuan yang diperintah oleh UMNO-BN boleh suka-suka mengeluarkan Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutan atau dana-dana lain di bawah pentadbiran dan kuasa kerajaan Persekutuan hanya kerana di desak berbuat demikian atau kerana mahu memenangi pilihanraya (dengan janji meluluskan projek ini dan itu). Jenis pentadbiran apakah ini?

Sebenarnya tak payahlah cerita tentang 1Malaysia sekiranya kerajaan Persekutan yang ditadbirkan oleh UMNO-BN masih lagi merasakan Kelantan dan negeri-negeri lain yang tidak ditadbirkan oleh parti mereka adalah seolah-olah wilayah asing.

Apakah 1Malaysia hanya boleh wujud hanya apabila semua negeri diperintah oleh UMNO-BN? Apakah ini yang menyebabkan ada pemimpin tertentu UMNO-BN yang berperi-peri mahukan PAS menyertai BN, atau mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO?

Apakah pemimpin UMNO tidak faham betapa dalam demokrasi semangat federalisme tidak mengambil kira siapa yang memerintah negeri mana.

Inilah yang disebut oleh Mursyidul Am PAS YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Julai tahun lalu apabila menegaskan beliau mahu BN menjunjung semangat federalism seperti yang kehendaki oleh Perlembagaan Malaysia. Kata beliau, “Saya usulkan hubungan dua kerajaan (negeri dan Pusat) dipulihkan dengan semangat federalisme.”

Tapi malangnya pemimpin UMNO-BN mendapati sukar untuk memahami perkara sebegini mudah. Balik-balik mereka mahukan PAS bersama UMNO (dalam apa juga bentuk) sehingga menyebabkan Nik Aziz merumuskan UMNO dalam keadaan amat terdesak berkelakuan ibarat kisah dalam Hikayat Laila dan Majnun.

Kata Tok Guru lagi, “Nak sangat bersama, sampai orang dah tak mahu pun dia nak jugak, jadi boleh tulis nama atas pasir pun jadilah.”


Oleh:Shirzad Lifeboat

No comments:

Related Posts with Thumbnails