SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Monday, July 26, 2010

KEMPEN MANSUH ISA....BERMULA 1.OGOS INI

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Menjelang genapnya 50 tahun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan di negara ini, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) meneruskan siri kempen mengajak rakyat mendesak kerajaan memansuhkan akta zalim itu.

Berpendirian ISA mesti dimansuhkan, bukan dipinda, GMI akan mengadakan beberapa siri program di seluruh negara bagi mengingatkan kembali kepada rakyat bahawa ISA masih digunakan di negara ini dan belum ada sebarang pindaan dibuat terhadap akta itu.

Bercakap pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor pagi tadi, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh memberitahu, antara program yang akan diadakan adalah edaran risalah di tempat-tempat awam pada 1 Ogos ini serentak di sekitar ibu negeri di seluruh negara.

Manakala pada malamnya pula, akan diadakan candle light vigil pada jam lapan malam juga serentak di seluruh negara.

Di ibu negara, ianya akan diadakan di Petaling Jaya bagaimanapun tempat khususnya akan dimaklumkan kemudian.

"GMI akan meneruskan kempen untuk mengemblengkan rakyat untuk menentang ISA. Sempena 50 tahun ISA GMI akan mengadakan beberapa siri program.

"Pengedaran risalah ini adalah satu usaha kita untuk memberi kesedaran kepada rakyat. Mungkin rakyat sudah sedar tapi kita nak berterusan menyedarkan rakyat.

"Kita akan meminta bantuan daripada semua NGO di bawah GMI, parti-parti politik untuk bersama dalam usaha kita mengedarkan risalah di semua tempat awam," katanya yang juga Timbalan Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM).

Selain itu, GMI sedang merancang untuk bertemu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bagi mendapatkan sokongan beliau supaya kerajaan negeri memasang billboard di seluruh negeri sepanjang bulan Ogos untuk menunjukkan kerajaan negeri menentang ISA.

"Dewan Undangan Negeri Selangor telah meluluskan usul mendesak kerajaan memansuhkan ISA pada tahun lepas. Jadi pemasangan billboard ini selari dengan usul yang diluluskan itu," katanya.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim turut mencabar kerajaan membuktikan bahawa pindaan yang didakwa akan dilakukan itu dapat menyelesaikan segala masalah ketidakadilan dan kekejaman di bawah ISA.

"Hari ini saya mencabar kerajaan Malaysia untuk membuktikan bahawa pindaan ini akan menyelesaikan semua masalah penyelewengan, salah guna kuasa, ketidak adilan di bawah ISA. Kalau benar pindaan ini pindaan yang baik buktikan dan laksanakan sesegera mungkin. Kalau tidak hentikan segala penjualan idea pindaan ini," tegasnya.

Tambahnya lagi, adalah wajar rakyat mempersoal kesungguhan kerajaan untuk meminda akta itu memandangkan ianya sudah tertanguh sejak sekian lama dengan alasan untuk mendapat pandangan semua pihak.

"Kita perlu mempersoalkan adakah kerajaan serius dalam mendengar permintaan rakyat. Kalau betul perubahan ingin dilakukan, saya yakin tidak ada lagi undang-undang seperti ISA.

"Kita percaya idea meminda ISA ini, bukan memansuhkan merupakan idea untuk menangguhkan dan menunjukkan kepada rakyat bahawa sebenarnya kerajaan telah berubah. Tapi hakikatnya tidak ada langsung pindaan dibuat. Ia sepatutnya dibentang di Dewan Rakyat tahun lepas tapi tertangguh sehingga kini," katanya.

Katanya juga, GMI mewakili rakyat akan terus menuntut beberapa perkara berkaitan ISA termasuk membebaskan ataiu mendakwa kesemua tahanan yang ditahan tanpa bicara di mahkamah yangbebas dan terbuka.

Kerajaan juga tegasnya, harus memohon maaf kepada semua tahanan dan memperuntukkan pampasan bagi kesengsaraan, penderitaan dan ketidakadilan ke atas mereka.

No comments:

Related Posts with Thumbnails