SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Friday, July 9, 2010

LAYARAKYAT PROGRAM BARU KERAJAAN SELANGOR

SHAH ALAM, 8 Julai: Kerajaan Negeri Selangor kini menggunakan pendekatan baru menggabungkan tayangan video penerangan dasar kerajaan negeri dengan kaunter Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bagi menyampaikan maklumat mengenai produk MES kepada orang ramai.

Program yang dinamakan LayaRakyat itu bakal fokus di tapak pasar malam kawasan luar bandar.

Tumpuan lokasi pertama adalah di pasar malam Daerah Sabak Bernam mulai 6 hingga 24 Julai, jam 7.00 hingga 9.00 malam.

Pihak urusetia akan menayangkan video di atas layar putih mengenai dasar kerajaan negeri dan membuka kaunter pendaftaran serta penerangan program Merakyatkan Ekonomi Selangor, khususnya Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Mesra Usia Emas dan Hadiah Anak Masuk IPT.

“Kaedah ini membolehkan maklumat dasar kerajaan negeri disampaikan kepada masyarakat umum dengan tepat dan cepat, serta menggalakkan orang ramai mengambil bahagian secara aktif dalam setiap program kebajikan yang dijalankan,” kata Pengarah Penerangan Selangor, Dr Badrul Amin Baharom ketika melancarkan projek LayaRakyat di pasar malam Sungai Besar, semalam.

Badrul juga memaklumkan, bagi pendaftaran Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) kini telah membuka syarat baru kepada kelahiran sempadan di mana bayi yang lahir di sempadan seperti Perak, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan serta ibu bapa bermastautin selama lima tahun di daerah yang bersempadan dengan Selangor layak memohon untuk bayi mereka.

Katanya, di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim amat prihatin terhadap kebajikan rakyat.

Tambahnya, pelbagai program rakyat telah dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin, khususnya golongan miskin di mana hasil negeri dapat dinikmati oleh rakyat.

“Oleh itu program LayaRakyat turun ke padang bertemu dengan rakyat agar rakyat dapat memahami dasar-dasar kerajaan negeri dengan baik. Program ini akan dilaksanakan secara berterusan di daerah-daerah lain selepas ini,” ujarnya.

Beliau berharap rakyat dapat memberikan sokongan berterusan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir Selangor.

No comments:

Related Posts with Thumbnails