SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Friday, July 30, 2010

MUFTI PERLU JUARAI SEMUA ISU BERKAITAN ISLAM


IPOH, 29 Julai: PAS Perak menggesa para mufti menjuarai semua isu berkaitan umat Islam di negara ini dengan merujuk sumber al-Quran dan as-Sunnah tanpa memilih dan tidak dipengaruhi mana-mana sentimen politik.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Khairuddin Abdul Malik berkata, hanya tindakan sebegitu yang mampu mengelak sebarang label negatif oleh rakyat terhadap mufti.

Menurutnya, label negatif terhadap mufti yang berlaku hari ini adalah akibat mereka dilihat hanya menjuarai isu-isu yang berkepentingan bagi pihak Umno BN dan senyap dalam isu-isu besar membabitkan pemimpin negara.

"Apabila mufti bersikap pasif dan membisu dalam isu-isu yang dirasakan penting oleh rakyat, tiba-tiba sekarang mufti terlibat langsung dalam kemelut politik yang dilihat partisan tentulah sukar bagi rakyat menerimanya dengan baik sangka.

"Lebih-lebih lagi apabila umum mengetahui mufti pernah memberikan ucapan-ucapan yang ditafsirkan sebagai menyebelahi Umno," katanya merujuk kepada kes menimpa Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Murfti juga, menurutnya dilihat hanya bersuara dalam isu murtad sedangkan banyak lagi isu-isu lain yang juga memerlukan penjernihan semasa daripada ulama.

Rakyat katanya, mahu melihat mufti lebih dari itu iaitu turut memberi pandangan berhubung salah laku elit dalam sistem kehakiman negara dan agensi-agensi penting kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

"Ini perkara yang mengecewakan rakyat yang cintakan Islam. Juga isu-isu tersebut menjadi faktor utama yang melambatkan proses dakwah dan transformasi (islah) dalam negara ini untuk menuju negara yang diredhai Allah.

"Kecuali dalam isu murtad. Rakyat tertunggu-tunggu respons dan teguran mufti dalam isu-isu besar seperti pengumpulan kekayaan di kalangan pemimpin Umno, pendakwaan terpilih, kehakiman yang songsang, pelanggaran amanah oleh kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat (contohnya royalti minyak Kelantan dan Terengganu 1999), kes perangkap seks dan rasuah oleh Umno dan SPRM bagi menjatuhkan Kerajaan PR Perak, kenyataan-kenyataan anti Islam oleh pemimpin-pemimpin Umno, dan penggadaian kedaulatan negara kepada Singapura dan Brunei oleh Umno BN," katanya.

Tanpa menyalahkan mana-mana pihak, beliau juga melahirkan kekesalan terhadap 'sebahagian kecil' warga negara ini yang didakwanya terlibat dalam budaya menggunakan label-label yang kasar dan melampau terhadap Mufti Perak.

Bagaimanapun dalam kontrovesi terbaru yang melibatkan isu perpaduan Melayu yang cuba diterokai oleh mufti tersebut, beliau menyarankan kepada Harussani menjernihkan segera suasana agar beliau tidak terus dipandang serong oleh masyarakat.

No comments:

Related Posts with Thumbnails