SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Thursday, November 3, 2011

PIKET MTUC PETANG INI

MTUC menganggarkan 500 peserta akan hadir di setiap lokasi piket. — Foto fail

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menafikan tanggapan pihak tertentu bahawa pihaknya kini bertindak sebagai sebuah pergerakan sayap kiri sambil menekankan, piket peringkat nasional petang ini di 18 lokasi di seluruh negara akan diteruskan sebagaimana telah dirancang.

Setiausaha Agungnya Abdul Halim Mansor berkata, MTUC hanya merupakan sebuah badan induk sekerja yang tidak memihak mana-mana parti dan fahaman politik, oleh itu tidak wajar melabel pihaknya sebagai pertubuhan yang sudah bergerak ke kiri.

“Tidak. Kami bukan sayap kiri. Kiri pun tidak, kanan pun tidak. Kami badan yang berkecuali yang mahu memperjuangkan kepentingan pekerja negara ini... itu sahaja matlamat kami.

“Oleh itu, saya berpandangan bahawa tanggapan dan label oleh seorang pengacara program televisyen malam tadi bahawa kami ini (MTUC) sudah bergerak ke kiri adalah tidak adil, sama sekali tidak betul,” kata beliau lagi.

Program itu membicarakan isu pindaan Akta Kerja 1955, yang menjadi kontroversi sekarang, dengan kemunculan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam sebagai tetamu panel.

“Pandangan pengacara program televisyen terbabit menunjukkan dia tidak tahu sejarah MTUC ataupun kurang pengetahuan mengenai aktiviti kami,” kata Halim lagi.

Mengenai piket peringkat nasional, Halim berkata rancangan mereka mahu mengadakan piket itu tiada sebarang perubahan dan tetap diteruskan di 18 lokasi, antara pukul 5.30 dan 6.30 petang ini.

“Ya, kami ambil maklum pandangan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rasid bahawa kami kena membuat permohonan mendapatkan permit.

“Tetapi, sebagaimana masa-masa lalu, kami tidak memohon permit, sekadar memaklumkan kepada pihak polis, sebagaimana kami telah lakukan kali ini,” kata Halim yang menekankan bahawa “kami cuma mengadakan perhimpunan aman tanpa mengganggu sesiapa dan pergerakan lalu lintas.”

“Oleh itu, kami berharap pihak polis akan memberikan kerjasama kepada MTUC dalam mengadakan piket ini,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, setakat malam tadi tiada pihak kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia merujuk MTUC agar membatalkan piket dan menyelesaikan pertikaian terbaru ini.

“Tiada apa-apa perubahan pendirian di pihak kerajaan. Piket berjalan seperti biasa hari ini,” katanya lagi.

Halim berkata, pihaknya menjangkakan sekitar 500 orang akan menyertai piket di setiap lokasi.

Lokasi-lokasi itu ialah Seksyen 15 Shah Alam, Jalan Persiaran Kuala Selangor, Teluk Panglima Garang; pekarangan bangunan TWU di Jalan Barat, Petaling Jaya; Bukit Raja Klang, Rawang/Sungai Choh di Selangor; Pulau Pinang (di kawasan hadapan Pearl View Hotel, Prai); Melaka (Jalan Bukit Beruang Air Keroh); dan Negeri Sembilan (Padang Majlis Perbandaraan Seremban).

Lokasi lain ialah di Perak (kawasan berhadapan dengan bangunan MTUC, Ipoh), Pahang (Padang Masjid Negeri, Kuantan); Kelantan (hadapan Kota Baru Trade Centre); Johor (hadapan Masjid Jamek Kampung Pasir, Batu 5 Jalan Skudai); Sabah (di kawasan berhampiran Tang Dynasty hotel dan Centre Point Kota Kinabalu); Kedah (di hadapan Sime Tyre International, Mergong); dan Sarawak (di hadapan Bangunan Sultan Iskandar, Kuching).

Di ibu negara, piket akan diadakan di kawasan berdekatan dengan bangunan KWSP, Jalan Raja Laut.

Semalam, Salleh dipetik Bernama Online berkata, MTUC masih perlu mengemukakan permohonan permit kepada polis berhubung cadangan mengadakan piket seperti yang termaktub dalam Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Kata Salleh, walaupun surat yang memaklumkan tujuan serta lokasi piket itu diadakan telah dihantar kepada Ketua Polis Negara, prosedur untuk mengadakan perhimpunan masih perlu dipatuhi.

“Dalam hal ini, Akta Polis masih berkuat kuasa... sebarang perarakan mesti mendapat kelulusan ketua polis daerah masing-masing. Mereka perlu kemukakan permohonan dan kami akan pertimbangkan sama ada ia (boleh) menjejaskan keselamatan awam atau tidak.

“Tak kisahlah mereka nak berhimpun sehingga 100,000 orang sekalipun. Kalau ia tak mudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam, kami akan luluskan. Kami bukanlah kejam sangat tidak benarkan sebarang perhimpunan diadakan,” kata Salleh dipetik Bernama Online.

MTUC mengambil tindakan itu ekoran rasa tidak puas hati dengan pindaan yang membolehkan kewujudan sistem kontraktor tenaga kerja secara sah di negara ini.

Pergerakan itu mendakwa sistem itu membuatkan pekerja itu bekerja untuk kontraktor bukan majikan utama, menyebabkan majikan utama tidak mempunyai tanggungjawab secara terus menjaga kebajikan pekerja.

No comments:

Related Posts with Thumbnails