SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Saturday, October 12, 2013

JANGAN TERLALU YAKIN...TINGKATKAN USAHA...

  Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan seluruh jentera parti agar tidak memandang ringan berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi N20, Dun Sungai Limau 4 November ini.

Menurut beliau, biarpun atas kertas PAS dilihat selesa dengan majoriti agar besar menerusi kemenangan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, namun pada PRK kali ini pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

"Saya berharap agar semua lapisan pimpinan parti PAS tidak memandang ringan cabaran Umno BN di dalam pilihanraya kecil Dun Sungai Limau nanti.

"Gerak kerja harus dimulakan sekarang, jauhi sikap terlampau yakin. Tingkatkan usaha di tahap maksimum, gantungkan harapan kepada Allah SWT.

"Semua pihak di dalam PAS dan Pakatan Rakyat wajib berwaspada, saya yakin pihak lawan akan menggunakan segala macam usaha untuk menawan kembali kerusi tersebut," katanya menerusi Facebook.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November depan sebagai hari pembuangan undi PRK Dun Sungai Limau sementara penamaan calon pada 23 Oktober.

PRK itu diadakan berikutan penyandangnya, Ustaz Azizan meninggal dunia pada 26 September lalu.

Pada PRU13 Mei lepas, Ustaz Azizan yang mendapat 13,294 undi menang dengan majoriti 2,774 undi menewaskan calon BN, Mohd Fazillah Mohd Ali (10,5204 undi) serta dua calon Bebas, Sobri Ahmad (100) dan Abdullah Hashim (84).

Wednesday, October 2, 2013

DULU2 TAK MACAM NI KE??






 Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Tahunan PAS ke-59 menegaskan mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang berkempen secara tidak sihat dalam pemilihan kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Asmuni Awi berkata, mana-mana ahli PAS yang didapati melanggar garis panduan dan etika berkempen mungkin boleh dibatalkan kemenangan calon.

Malah katanya, jawatankuasa tatatertib boleh mengambil tindakan sekiranya terdapat aduan daripada pihak yang terancam dengan kempen yang dilancarkan oleh saingannya.

"Kita sedia maklum kempen-kempen giat berlangsung, seseorang itu boleh laporkan kepada kita jika ada pihak yang rasa terkilan, ataupun secara terangan kesalahan dari kaca mata kita sendiri. Kita ambil perhatian," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut hari ini.

Pada pemilihan kali ini, katanya calon dibenarkan mempromosikan diri mereka sama ada bersendirian atau berpasukan bagaimanapun tertakluk kepada bahagian 6 dalam peraturan tersebut.

Bahagian 6 peraturan itu menggariskan; menerbitkan, mengeluarkan, menyiarkan atau mengedarkan dalam apa jua bentuk, sebarang bentuk kenyataan sama ada lisan atau dalam bentuk tulisan atau grafik atau karikatur di dalam apa-apa medium sekalipun, yang mengandungi fitnah, kejian, celaan, sindiran atau apa juga kenyataan palsu sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan tujuan mempengaruhi atau mendorong mana-mana ahli PAS supaya mencalonkan atau tidak mencalonkan atau mengundin atau tidak mengundi mana-mana ahli PAS.

Asmuni turut mengakui sebelum ini PAS tidak pernah mengeluarkan garis panduan berkempen tetapi pada kali ini ramai orang hendak tahu apa yang calon buat dan tidak buat.

"Sebelum ini memang tidak ada, jadi kali ini adalah lebih baik kita benarkan kempen secara sihat, mereka yang dilantik sebagai juru kempen akan memudahkan kita untuk awasi mereka," katanya.

Berhubung borang pencalonan, Asmuni mengingatkan borang pencalonan bagi kawasan yang diisi dan dihantar melalui emel tidak akan diterima kerana setiap borang mesti ditandatangani YDP Kawasan masing-masing.

Asmuni turut mengingatkan kepada mereka yang disenaraikan sebagai calon oleh PAS Kawasan hendaklah mengesahkan penerimaan mereka sebelum atau pada 8 November ini, sebelum jam 5.00 petang.

Manakala katanya, tarikh akhir untuk menghantar borang pencalonan untuk AJK PAS Pusat, Dewan Pemuda dan Muslimat pada 20 Oktober jam 12.00 malam, manakala tarikh tutup pencalonan Dewan Ulamak pada 31 Oktober.

Pemilihan ahli jawatankuasa PAS pusat akan berlangsung pada 22 November depan di Stadium Malawati dan keputusannya akan diumum keesokan harinya.

Manakala, pemilihan sayap-sayap akan berlangsung pada 21 November pada waktu pagi dan keputusan akan diumumkan pada sebelah malam.

Tuesday, October 1, 2013

PAS AKAN PERTAHAN DUN SUNGAI LIMAU


Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkeyakinan dengan kekuatan dan pengaruh yang dibina oleh bekas Adun Sungai Limau, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, PAS mampu mempertahankan kerusi Dun berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.

Katanya, Ustaz Azizan telah menunjukkan kecemerlangan sejak menjadi Adun tahun 1995 sehingga 2013 dengan mengekalkan kemenangan PAS di kerusi tersebut.

Dalam pada itu, Mahfuz tidak memandang mudah untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) apabila melihat faktor-faktor yang dipergunakan oleh parti itu dalam setiap pilihan raya kecil.

"Saya yakin dengan kekuatan yang dilakukan Ustaz Azizan sebelum ini, kecemerlangan yang ditunjukkan membolehkan PAS mengekalkan kemenangan sejak 1995 hingga 2013.

"PAS mampu mempertahankan kerusi tersebut pada PRK kali ini, tetapi dalam masa yang sama ia bukan satu laluan mudah apabila setiap kali berlakunya PRK, BN akan berjanji dengan pelbagai imbuhan kepada pengundi yang boleh mempengaruhi pengundi," jelas beliau pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkeyakinan pengundi di Dun Sungai Limau akan tetap bersama PAS untuk memastikan parti itu terus kekal di kerusi tersebut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli berkata calon belum diputuskan di peringkat parti dan ia hanya diumumkan apabila hampir hari penamaan calon.

Katanya, calon yang akan dipilih nanti pasti dapat mewarisi kecemerlangan bekas Menteri Besar Kedah sebelum ini.

"Kita akan pastikan calon yang dipilih nanti mempunyai kewibawaan dalam meneruskan tradisi kecemerlangan Ustaz Azizan sepanjang 1995 hingga 2013," kata Ahli Parlimen Kuala Krai itu lagi.
Related Posts with Thumbnails